Solat Terawikh malam semalam adalah sama seperti biasa. Cuma, saya tertarik dengan budaya orang-orang di sini. Bukan mereka nak menunjuk-nunjuk. Bahkan, tak tahu pun siapa yang menderma. Kutipan derma malam sebelum (14/8/11) bagi meringankan beban saudara Islam di Kemboja adalah melebihi RM20,000 seperti mana yang diumumkan oleh Pengerusi Masjid. Bukan itu sahaja, derma untuk tujuan cetakan Al-Quran melebihi RM2,000 dan Muqaddam, saya tidak ingat. Apa yang menyentuh perasaan jemaah masjid ialah penduduk Islam di Kemboja tidak memiliki Al-Qur'an yang mencukupi. Hanya Ustaz yang mengajar sahaja memiliki Al-Qur'an. Pelajar-pelajar tidak mempunyai Al-Qur'an.
Matlamat utama kutipan derma adalah bagi 'Skim Saham Wakaf Ladang Getah di Kemboja'. Ianya dilakukan bagi membantu mereka menjana ekonomi bagi masyarakat Muslim setempat dan kami difahamkan bahawa keadaan pembangunan dan prasarananya sangat daif. Penduduk Islam Kemboja hanyalah 5% dari keseluruhan penduduknya. Guru-guru agama mereka pula tidak mendapat sebarang imbuhan atau gaji. Mereka bekerja secara percuma untuk agama Allah.
Pada tahun lepas, Pengerusi Masjid dan rombongannya telah mengunjungi tanah yang dibeli hasil kutipan derma yang lalu. Memang terbukti mereka bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib umat Islam di sana. Semoga mereka berjaya memperjuangkan nasib saudara Islam kita di sana, walaupun tanpa bantuan kerajaan Kemboja.
Seperti yang telah kita tahu, hanya 3 perkara yang akan mengiringi kita ke alam barzakh dan pertemuan kita dengan Allah SWT di akhirat kelak. Satu darinya adalah sedekah jariah. Kita harus bersiap sedia dari sekarang untuk tujuan ini. Jika tidak, bila lagi? Adakah kita tahu bilakah kita akan dijemput oleh malaikat pencabut nyawa untuk pergi berjumpa Tuhan Pencipta? Sudah tentu tidak. Mungkin tahun depan, mungkin bulan depan, mungkin esok atau mungkin sebentar lagi. Pelbagai cara boleh dijadikan sebab untuk kita dijemput pergi seperti kemalangan jalanraya, jatuh longkang, semput atau sesak nafas. Wallah hu Alam. Ingatan ini adalah untuk diri saya dan semua yang berminat membaca.
Jika berminat untuk menambah saham akhirat, bolehlah berhubung terus dengan pihak-pihak berkenaan seperti di dalam brochure di atas.
No comments:
Post a Comment