Di suatu ketika Saidatina Aisyah r.a. pernah menyuarakan kepada Rasulullah SAW tentang keinginan beliau untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. Baginda bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a. tentang apakah doa yang ingin dilakukan sekiranya menemui malam Lailatul Qadar. Saidatina Aisyah r.a. menjawab bahawa hanya baginda lebih mengetahuinya. Rasulullah SAW menjawab bahawa doa terbaik ialah memohon keampunan dari Allah SWT.
Ajal menjemput kita pada waktu yang telah ditetapkan tidak lambat atau cepat walau sesaat pun. Apakah akan terjadi pada diri seseorang hamba di Alam Barzakh (Alam Kubur) sekiranya Allah tidak mengampunkannya (atau dengan kata lain Allah murka kepadanya)? Juga, apakah akan terjadi di Padang Mahsyar sekiranya seseorang hamba dimurkai Allah dan masih tidak diampuni ketika ajalnya? Sudah pasti kita dapat menjawabnya dengan tepat.
Pernah satu ketika Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a. bahawa akan lahir seorang yang amat mustajab doanya di zaman mereka nanti. Mereka diminta agar mendapatkan orang ini dan meminta beliau mendoakan agar Allah mengampuni dosa-dosa keduanya. Hal ini benar terjadi ketika zaman Saidina Umar r.a. iaitu di negeri Yaman (nama tempat xingat..) dan telah lahir seorang yang bernama Awis (nama penuh pun xdapat tangkap sbb xbawa pen & kertas...). Awis telah diuji oleh Allah SWT di mana beliau mempunyai penyakit sopak diseluruh badannya. Juga, Awis telah diuji oleh Allah SWT, di mana beliau hidup di dalam keluarga yang miskin dan ibunya pula telah lumpuh.
Pada satu hari, ibunya telah mendapatkan Awis dan menyatakan hasrat untuk menunaikan ibadah haji kerana takut pada tahun akan datang beliau akan meninggal dunia. Beliau telah meminta Awis menyediakan kenderaan. Awis menjadi bingung kerana beliau miskin dan bagaimanakah hendak menyediakan kenderaan untuk ibunya bagi menunaikan fardhu haji. Bahkan, untuk menyewa kenderaan pun beliau tidak mampu. Awis telah bersolat dan memohon bantuan Allah SWT tentang cara untuk memenuhi hajat ibunya. Allah SWT telah mengilhamkan sesuatu kepada Awis.
Beliau telah mengumpul wang sedikit demi sedikit sehingga cukup untuk membeli seekor anak lembu. Awis meletakkan anak lembu peliharaannya di atas sebuah bukit. Setiap pagi Awis memikul anak lembu ini di atas bahunya untuk di bawa menuruni bukit tersebut untuk diberi makan. Dan, memikul dengan cara yang sama pada sebelah petang untuk di bawa naik semula ke atas bukit iaitu ke tempat asal di mana lembu peliharaannya disimpan. Setelah cukup 8 bulan (kalau x silap saya), ibunya bertanya adakah Awis telah menyediakan kenderaan untuk beliau menunaikan fardhu haji di Mekah. Awis mengiyakan pertanyaan tersebut sambil menunjukkan kedua-dua belah tangannya sebagai kenderaan untuk ibunya ke Tanah Suci Mekah.
Awis mendukung ibunya di atas bahu beliau dan berjalan menuju ke Mekah untuk menunaikan fardhu Haji. Setelah selesai menunaikan ibadah Haji, dua beranak ini kembali ke negeri asal mereka (Yaman) dan di tengah perjalanan, ibunya bertanya kepada Awis tentang apakah doa beliau ketika di Mekah? Awis menjawab hanya satu doa sahaja iaitu memohon Allah SWT mengampunkan dosa-dosa ibunya. Ibunya bertanya lagi sama ada Awis berdoa untuk dirinya sendiri? Awis mengatakan tidak. Ibunya bertanya mengapa tidak berdoa untuk diri sendiri? Awis menyatakan adalah cukup beliau berdoa agar Allah mengampuni dosa-dosa ibunya kerana jika Allah redha ke atas ibunya, maka, Allah akan redha kepada dirinya.
Ibunya bertanya lagi adakah Awis berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopak yang dialaminya? Awis menjawab tidak kerana beliau takut Allah murka kerana beliau tidak redha dengan ketentuan Allah. Ibunya terus menyuruh Awis berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan penyakit sopaknya dan sekiranya Awis enggan melakukannya, ini di anggap sebagai telah derhaka kepada ibunya. Awis terketar-ketar kerana takutkan apa yang dikatakan oleh ibunya dan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitnya, namun, memohon Allah meninggalkan sedikit penyakit itu dengan harapan Allah tidak murka kepadanya sebagai tanda beliau redha dengan pemberian Allah itu. Doa beliau mustajab, di mana Allah menyembuhkan penyakit sopak Awis dan meninggalkan sedikit sopak sebesar ibu jari pada bahagian tengkuknya seperti mana yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a.
Selepas beberapa tempoh, Awis kembali semula ke Mekah dan kali ini bukanlah untuk menunaikan fardhu Haji tetapi untuk bertemu dengan Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a. Setibanya beliau di sana, Awis berjumpa dengan kedua-dua individu ini dan menyatakan bahawa masihkah kedua-duanya ingat akan pesanan Rasulullah SAW tentang doa mustajab oleh beliau? Kedua-duanya mengakuinya dan meminta Awis untuk berdoa kepada Allah SWT agar mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh mereka.
Wallah hu Alam.
No comments:
Post a Comment