Sunday, 14 August 2011

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Tazkirah Ramadhan Oleh Ustaz Zambri, IKIM
Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam

Puasa dilakukan bukan sahaja oleh manusia, bahkan, ianya dilaksanakan oleh semua anggota alam. Sebagai contohnya, sudah menjadi tabiat beruang bertindak ganas apabila terancam atau di dalam situasi tertentu. Disebabkan perlakuan sebegini, dirinya sering terluka. Untuk memulihkan dirinya, beruang akan berpuasa dan berlaku kekurangan zat besi atau tiada zat besi diambil, dan ini menyebabkan luka-lukanya pulih. Begitu juga bagi kes ayam yang sedang mengeram yang tidak makan sehinggalah selesai mengeram telur-telurnya. Bagi tanaman pula, tiada makanan diambil ketika putik keluar sehingga proses tersebut selesai. Puasa adalah proses  kembali kepada fitrah iaitu 'recharge' diri.

KPI (Key Peformance Indicator) untuk puasa boleh dirujuk di dalam  Ayat 183 Surah Al-Baqarah. Puasa di bulan Ramadhan adalah mendidik kita supaya bertakwa kepada Allah SWT bagi tempoh 12 bulan akan datang. Maksud TAKWA ialah (i) Memelihara, (ii) Mencegah, (iii) Menjaga. Apakah maksud takwa kepada Saidina Ali? Beliau berpendapat takwa adalah rasa takut kepada yang Maha Agung, beramal pada yang nuzul dan bersiap sedia bagi menghadapi saat masa dan hari kita diangkat pergi menemui Allah SWT.

Agenda puasa ialah untuk melahirkan rasa gerun kepada Allah SWT. Satu persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa ramai orang yang mungkar kalis dakwah? Jawapannya ialah tidak takut kepada Allah. Puasa bukanlah sebarangan ibadah. Ianya berkait dengan persoalan KEIMANAN. Puasa bukan sekadar menunggu lailatul kadar atau untuk menjaga kesihatan.

Banyak yang telah diperkatakan oleh Rasulullah tentang Ramadhan. Kita tidak dibenarkan bercakap benda-benda kotor, berbunuhan atau berperang antara satu dengan yang lain.

Keistimewaan Qiamullail di bulan Ramadhan ialah kita tidak perlu tidur dahulu berbanding di bulan-bulan yang lain. Ulama-ulama bertanya apa lagi yang kita inginkan di dalam hidup ini apabila Allah mengampunkan dosa kita? Bahkan, semua doa dimakbulkan oleh Allah. Tetapi, ianya ditangguh disebabkan oleh dosa-dosa kita yang tebal. Sekiranya kita tidak ada dosa, maka kita tidak akan dihisab di akhirat kelak. Orang yang puasa di siang hari, doanya akan dimakbulkan. Juga, hendaklah kita bersungguh-sungguh beribadat di pertengahan bulan Ramadhan kerana terlalu banyak faedah yang bakal diperolehi.

Terdapat satu kisah di Nawar, Palestin, di mana terdapat seorang kanak-kanak yang kurang cerdas berbanding kanak-kanak sebaya dengannya yang mampu menghafaz Qur'an ketika berusia 9 atau 10 tahun.  Beliau hafaz Al-Quran ketika akil baligh. Beliau sering membantu ayahnya menjaga kedai dan rajin membaca buku. Pada satu malam, kanak-kanak ini mengejutkan ayahnya kerana terlihat cahaya yang terang benderang di dalam rumah nya, dan ayahnya menyuruh beliau untuk terus tidur. Namun, ayahnya tidak tidur sepanjang malam hingga ke pagi. Walaupun ayahnya tidak berjumpa dengan lailatul qadar, beliau tetap beramal ibadat. Sebenarnya, budak itu telah ditunjukkan tanda-tanda Lailatulqadar. Budak itu ialah Imam Nawawi.

Imam Ghazali telah menemui Lailatulqadar sebanyak 40 kali sepanjang hayat beliau. Namun, janganlah kita asyik ingin melihat tanda-tanda Lailatulqadar. Tidak ada tanda khusus bagi Lailatulqadar. Cuma ada disebutkan bahawa tandanya ialah cuaca atau keadaan yang tenang dan suhu yang sedang-sedang sahaja. Gembelenglah segala usaha kita agar mendapat ganjaran yang setimpal.

Wallah hu Alam

No comments:

Post a Comment