Thursday, 11 August 2011

Haid/Istihadhah/Nifas

"Dari Aisyah, dia berkata: 'Fatimah binti Abu Hubaisi datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: 'Aku adalah wanita yang sedang istihadhah, maka aku tidak suci. Apakah aku boleh meninggalkan solat?' Baginda menjawab: "Tidak. Itu hanyalah darah yang banyak keluar dan bukan (darah) haid. Maka apabila datang haid, tinggalkanlah solat. Dan apabila sudah berhenti maka cucilah darimu darah itu, kemudian solatlah!"

Di antara hal yang telah ditetapkan Allah terhadap puteri-puteri Hawa adalah haid dan istihadhah serta nifas. Setiap wanita Mukminah harus mengetahui hukum hal-hal ini, sehingga dia dapat beribadah kepada Allah berdasarkan pengetahuan.

"Maka apabila datang haid, tinggalkanlah solat", haid adalah darah yang keluar dari dalam rahim, yang biasanya apabila di dalamnya tidak ada janin. Warnanya merah kehitam-hitaman, yang mana kadang-kadang baunya sangat tidak sedap. Jangka waktunya yang paling sedikit adalah sehari dan paling lama lima belas hari.

Dalam perkaitannya dengan darah haid ini, wanita mempunyai tiga keadaan:

Pertama:
Bagi permulaan, iaitu wanita yang baru pertama kali melihat darah haid dalam hidupnya. Hukumnya, selagi pertama kali dia melihat darah haid yang keluar, bererti dia harus tahu bahawa dia adalah wanita haid. Maka dia harus meninggalkan solat, jimak (bersetubuh) apabila bersuami dan membaca Al-Qur'an, hingga dia suci, yakni bila berhentinya darah haid. Sucinya dapatdiketahui dengan mudah. Iaitu selagi vaginanya sudah kering (dari darah). Caranya, dia boleh memasukkan kapas ke vaginanya, lalu mengeluarkanya, sehingga dia mendapati kapas itu kering dari tanda basahnya darah. Engkau juga boleh mengetahuinya setelah keluar lendir putih.

Disini perlu kami jelaskan bahawa darah haid yang pertama, kadang-kadang berhenti setelah satu, dua atau tiga hari. Apabila darah sudah berhenti, maka engkau harus mandi dan mengerjakan solat fardu yang ada pada saat itu dan membersihkan kesan-kesan haid yang baru engkau alami.

Kedua:
Al-Mu'tadah iaitu wanita yang darah haidnya secara tepat datang setiap bulan. Dia dapat mengetahui kebiasaan hal ini, bahawa darah haid datang pada hari ini dan minggu sekian. Biasanya haid ini berlangsung selama satu hari dan seterusnya hingga batas waktu yang sudah ditetapkan, iaitu lima belas hari. Seperti keadaan wanita yang pertama, dia wajib meninggalkan solat dan jimak. Apabila keadaannya itu sudah berhenti dan mendapatkan keadaan sucinya lagi kerana darahnya sudah berhenti, atau ditandai dengan keluarnya lendir putih, maka dia harus tahu bahawa darah haidnya sudah berhenti.

Disini engkau harus berwaspada. Apabila darah sudah berhenti sebelum akhir kebiasaannya, kemudian engkau mandi, lalu ternyata darah itu keluar lagi, maka engkau tidak boleh solat, kerana engkau masih dalam keadaan haid. Apabila darah sudah berhenti, sesudah selesai masa hitungannya, maka engkau harus mandi dan mengerjakan solat.

Ketiga:
Mustahadhah, iaitu wanita yang darahnya terus menerus keluar tidak berhenti. Hukumnya, apabila dia mempunyai kebiasaan sebelum mendapat istihadhah, dan dia mengetahui secara pasti bila hari-harinya dalam setiap bulan, maka dia tidak perlu solat dan hal-hal lain yang memang dia dilarang mengerjakannya, hingga hari-hari batas haid itu sudah habis, lalu dia mandi dan mengerjakan solat, tetapi tidak boleh mengerjakan hal lain yang memang wanita dilarang mengerjakannya saat haid. Tetapi boleh jadi kedatangan haidmu tidak tetap atau walaupun tetap, namun engkau lupa hari-harinya. lalu apa yang harus dilakukan?

Dalam keadaan seperti ini tidak ada jalan lain bagi mu melainkan melihat darah yang keluar. Apabila ada perubahan warna dari merah kehitaman dan semakin kental padahal sebelumnya tidak, atau merah saja, atau selagi engkau melihat adanya perubahan warnanya, bererti engkau haid, yang bererti engkau tidak tidak boleh solat dan mengerjakan ibadah lain yang memang dilarang. Dan apabila darah kembali seperti asal, maka engkau harus mandi dan solat. Lalu bagaimana hukumnya apabila darah yang keluar terus-menerus tidak berubah warna?

Hukumnya, engkau harus menghitung masa terlama dari haid, iaitu enam atau tujuh hari. Selama itu engkau tidak perlu solat dan puasa serta jimak. Apabila masa itu sudah berlalu, engkau mestilah mandi dan mengerjakan solat, tanpa mengqada yang sudah lepas. Tetapi untuk puasa engkau harus mengqadanya. Ini berlaku terus hingga bulan berikutnya. Dalil-dalil tentang hal ini amat banyak, disebutkan dalam Sunnah yang suci. Apabila engkau ingin mengetahui dalil-dalil tersebut, maka bacalah buku-buku fiqah.

Yang perlu kami tegaskan di sini, pada akhir hari-hari haid yang biasa engkau alami, engkau harus memeriksa dirimu sebelum fajar dari akhir malam. Apabila engkau melihat keadaan suci dengan memeriksa kekeringannya dan dengan melihat lendir putih, maka engkau harus segera bangun dan mandi, lalu solat Maghrib dan Isya'. Atau setidak-tidaknya engkau harus memeriksa dirimu sebelum matahari terbit. Apabila engkau melihat keadaan suci, maka engkau harus mandi dan solat Subuh. Atau engkau harus memeriksa sebelum matahari terbenam. Apabila engkau melihat keadaan suci, maka engkau harus mandi dan solat Zuhur serta 'Asar.

Secara keseluruhan, pada saat engkau sudah melihat keadaan suci, maka engkau wajib terus mandi. Apabila ada sisa waktu sebelum darah itu keluar hingga engkau boleh solat satu rakaat, maka engkau harus mengerjakan solat. Kalau tidak, maka engkau juga tidak wajib mengqadanya.

..... Nifas adalah darah yang keluar secara langsung dari wanita sesudah bersalin. Hukumnya, dia harus meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh wanita haid, hingga darahnya berhenti. Apabila darahnya langsung berhenti sehari atau dua hari sesudah melahirkan, mala dia harus mandi dan solat dan mengerjakan apa yang wajib dilakukan wanita yang darah nifasnya sudah berhenti. Tetapi adakalanya darah nifas itu terus keluar. Dalam keadaan seperti ini, dia tidak boleh mengerjakan solat mahupun puasa, hingga darahnya berhenti, iaitu selagi berhenti sebelum 40 hari. Kalau belum berhenti, maka dia harus mandi dan solat setelah lengkap 40 hari, meskipun darah nifasnya belum berhenti. Ini merupakan pendapat Mazhab Al-Hanbali dan lain-lainnya. Kerana itu merupakan batas akhir bagi wanita yang sedang nifas. Sedangkan Mazhab Asy-Syafie dan Malik berkata: "Ia harus menunggu hingga 60 hari. Ini merupakan batas akhir bagi wanita yang sedang nifas.

Begitulah wahai saudari Muslimahku, yang dapat kita pelajari dari sebahagian hukum bersuci dari wasiat Rasulullah SAW terhadap Fatimah binti Abu Hubaisi.

Dari Buku: 50 Wasiat Rasulullah Untuk Wanita, Majdi As-Sayyid Ibrahim, Pustaka Syuhada

No comments:

Post a Comment