Kuliah subuh pagi ini menjelaskan lebih lanjut bagaimana mengira hari ganjil di dalam 10 hari terakhir Ramadhan. Saya yang kurang ilmu ini rasa sungguh gembira kerana mendapat ilmu baharu. Teringin sangat berkongsi dengan rakan-rakan. Ini adalah disebabkan sangkaan saya selama ini jauh meleset.
Bagi saya dan ramai lagi di kalangan rakan-rakan, jika ingin mengira malam ganjil seperti malam 21, 23 dan seterusnya, kiralah malam pertama solat tarawikh hinggalah malam ke-21. Maka, malam ke 21 ialah malam ganjil pertama. Ternyata ini tidak sama dengan apa yang diterangkan kepada saya oleh imam tahfiz yang memberi kuliah kepada kami pagi ini.
Sekiranya kita ingin menentukan malam-malam ganjil pada fasa ke-3 Ramadhan, kiralah dari belakang. Maka, malam ganjil bergantung kepada bilangan hari Ramadhan tahun berkenaan. Jika Ramadhan tahun tertentu ialah 30, maka, hari ganjil dikira ke hadapan iaitu malam ganjil 1 (hari 30), malam ganjil 3 (hari 28)...dan seterusnya. Sebaliknya, jika bulan Ramadhan tahun tersebut adalah 29 hari, maka, malam ganjil adalah malam ganjil 1 (hari 29), malam ganjil 3 (hari 27)...dan seterusnya. Hasilnya ialah malam ganjil berbeza jika jumlah hari bulan Ramadhan berbeza.
Kesimpulannya, Imam Tahfiz menyatakan bahawa "sebab itu Rasulullah menyuruh kita beribadat di dalam 10 malam terakhir" dan bukannya hanya fokus kepada malam ganjil yang dikira dari hadapan. Ini disebabkan kesukaran menentukan bilangan hari Ramadhan kerana bilangan hari hanya diketahui apabila anak bulan dicerap dan diputuskan oleh Majlis Raja-Raja.
Inilah kali pertama saya mendengar cara pengiraan begini. Satu perspektif baru bagi saya. Namun, saya berpendapat penjelasan agar mencari malam Lailatulqadar di dalam 10 malam terakhir adalah lebih baik dan kukuh.
Wallahu 'Alam
Kembara.
No comments:
Post a Comment