Sunday, 14 August 2011

INFAQ Harta

Ruang utama masjid dah penuh... tengok kiri dan kanan, fuhh... tak ada peluang nak masuk. Saya pun landing kat ruang tambahan tepi masjid. Selesai solat Isya' dan solat sunat, Pengerusi Masjid bingkas bangun untuk bercakap sepatah dua kata seperti biasa sejak hari pertama Tarawikh. Pak Cik ni dengan senyum simpul memulakan kata bicara. Beliau mengumumkan acara kutipan derma untuk Rakyat Palestin yang dilakukan semalam telah berjaya mengumpul lebih dari RM18,000 dan seutas gelang emas. Hati saya terdetik "Fuyyo...dalam masa 1 jam kutipan sahaja, berjaya kutip banyak tu.." Kalau nak kira, jumlah kutipan melebihi RM20,000 kerana gelang emas yang di'Infaq' sudah tentu bernilai lebih dari RM5,000 dan kalau dicampur dengan RM18,000 yang dikutip...sah sah jadi lebih dari RM23,000.

Solat Tarawikh diimamkan oleh Tahfiz warga Palestin yang berumur 21 tahun yang dibawa khas oleh sebuah NGO. Saya rasa begitu kecil bila terfikir 'dah 40 tahun umur aku ni...belum hafaz Qur'an walau satu juzuk pun...tapi orang muda ni hebat, baru umur 21 tahun telah hafaz Quran dan mengimamkan pak cik-pak cik dan atuk-atuk yang semakin usang di mamah usia...hehehe'. Sedap dan lancar bacaan dia. Di dalam tazkirah, wakil NGO yang membawa masuk Tahfiz ini bercerita dengan penuh semangat tentang Infaq dan keperluan kita sebagai Umat Islam untuk turut serta di dalam membantu rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka. Bahkan, Baitul Maqdis adalah kiblat pertama umat Islam sebelum ianya dialihkan ke Mekah. Infaq bererti membelanjakan harta kita di jalan Allah. Beliau berhujah bahawa setiap di kalangan kita perlu mempertahankan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh kaum Yahudi. Jangan sampai suatu masa nanti, batu dan pokok berteriak kepada kita untuk membunuh Yahudi yang kejam di sana. Dengan nada keras dan memeranjatkan saya apabila beliau menegaskan kita harus bertindak sekarang dengan mengeluarkan sedikit harta kita.

Apabila mati seseorang anak Adam hanya 3 perkara yang akan turut serta bersamanya untuk meneruskan perjalanan menemui Penciptanya...Sedekah Jariah, Ilmu Yang Bermanfaat dan Anak Yang Soleh Yang Mendoakannya. Tok Imam, seorang Hafiz Malaysia pula bercerita tentang Infaq Harta. Saya pun cuba hubungkait apa yang diperkatakan dengan perkara-perkara yang popular di dalam kepala saya sejak akhir-akhir ini (hahaha)...Isteri, suami, anak-anak, saudara mara, ISO, KPI, RU, SETARA, MyRA, SKT, e-SSM, Bonus 1/2 bulan, VC, TNC, Dekan semuanya tidak dapat menolong kita di dalam kubur kecuali 3 perkara di atas.Fuhhh... camne ni kalau esok hari terakhir hidup ini???

Rasulullah pernah menggadaikan baju besi milik beliau hanya untuk memberi makan kepada fakir miskin. Saidatina Aisyah r.a., isteri Rasulullah adalah seorang yang sangat pemurah. Di kala memberi sedekah, beliau bersungguh-sungguh hingga lupa tentang keperluan dirinya. Pernah satu ketika, beliau meminta pembantunya untuk memberikan semua wang miliknya kepada fakir. Di waktu petang, apabila menyediakan juadah, pembantunya menyatakan seharusnya Saidatina Aisyah r.a. menyimpan sedikit wangnya untuk membeli makanan untuk di masak.

Di dalam satu insiden lain, Saidatina Aisyah r.a. mensedekahkan seekor kambing kepada orang yang memerlukan dan mengambil sedikit pada bahagian kakinya untuk juadah isi rumahnya. Apabila Rasulullah ingin makan, Baginda bersabda kepada Saidatina Aisyah r.a. bahawa semua daging dan bahagian-bahagian kambing yang diagih-agihkan adalah milik Saidatina Aisyah r.a. kecuali yang diambil dan dimasak sahaja bukan milik beliau. Maksud Rasulullah ini ialah sedekah yang dikeluarkan itu adalah milik kekal Saidatina Aisyah r.a. yang bakal dibawa berjumpa dengan Allah SWT nanti. Juga, janganlah kita bakhil (atau kedekut atau orang kampung kata 'Tangkai Jering', 'Taik hidung Masin') kerana di akhirat kelak, harta-harta yang kita bakhilkan akan dikalungkan dileher pemiliknya.

Menurut Tok Imam, keberkatan bersedekah bakal dapat dilihat sejak di dunia lagi. InsyaAllah, pencuri atau perompak bila melalui kawasan rumah kita tidak akan merasa untuk mencuri atau merompak. Cuba fikirkan, tujuan Infaq atau Sedekah ialah untuk membela nasib fakir miskin dan berkongsi rezeki Allah. Melalui Infaq atau sedekah, ummah akan hidup di dalam suasana kasih sayang dan saling mengambil berat.

Wallah hu Alam.

No comments:

Post a Comment