Wednesday, 17 August 2011

Rejim Zionis Merampas Tanah Wakaf Islam Palestin. Patutkah Kita Berdiam Diri?

Ramai yang tidak tahu atau tidak pernah dengar bahawa Saidina Umar r.a.  pada suatu masa dahulu pernah berkata bahawa tanah Palestin adalah tanah wakaf bagi seluruh umat Islam. Tanah berkah ini mesti dipertahankan oleh seluruh umat Islam kerana terdapat sebab khusus yang menuntut tindakan ini.

Jemaah Masjid kami telah dikunjungi oleh sebuah NGO Malaysia yang berjuang di dalam isu-isu bersabit dengan Palestin. Dr Tengku Shahrom dari Aqsa Syarif telah memberi taklimat ringkas berhubung projek terkini oleh organisasi beliau bagi membantu penduduk Palestin. 

Dr Tengku membacakan Surah Al-Isra Ayat 1 yang berbunyi "Mahasuci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya* agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat." [Nota: *Masjidil Aqsa dan daerah sekitarnya dapat berkah dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu berikut kesuburan tanahnya].

Di sinilah berlakunya peristiwa Isra' Mikraj dan Al-Aqsa telah disebut di dalam banyak surah Al-Qur'an. Bahkan, menurut Dr Tengku kedudukan Baitul Maqdis adalah sangat strategik sehinggakan puak Yahudi yang ditunjangi Rejim Zionis begitu kepingin untuk melenyapkan tapak penting bagi umat Islam itu: (i) Qiblat pertama umat Islam, (ii) Negeri di mana berlaku Isra' Mikraj, (iii) Kota besar Islam ke-3. Seperti yang dinyatakan di atas, Saidina Umar r.a. telah mengumumkan bahawasanya tanah ini adalah tanah wakaf milik mutlak umat Islam. Kita sepatutnya tidak redha dengan tindakan musuh Allah untuk melenyapkan tanda-tanda Islam di sana.

Peta di bawah menceritakan tindakan kotor dan keji Rejim Zionis. Di dalam peta pertama (1 - Paling kiri), kawasan putih iaitu tanah milik Yahudi hanyalah 5%. Mereka telah melaksanakan rancangan pengambil alihan secara terancang melalui tindakan membeli dan melobi, dan akhirnya mereka memperolehi 56% dari tanah Palestin seperti di dalam Peta ke 2 di bawah (hanya 44% milik orang Islam).



Pada 15 Mei 1948, Rejim Zionis dengan biadap telah mengisytiharkan kemerdekaan negara mereka. Peta ke 3 menunjukkan tanah mereka hasil dari pelbagai cara termasuk rampasan. Pada ketika ini, hanya 10% sahaja tanah Palestin adalah milik orang Islam seperti mana ditunjukkan di dalam Peta 4 di atas.

Setiap orang Islam mestilah mempunyai perasaan dan keinginan untuk turut membantu di dalam pelbagai cara bagi mengembalikan semula hak milik orang Islam ini.  Rejim Zionis telah melakukan pelbagai kekejaman kepada saudara Islam kita di sana seperti memusnahkan bangunan dan tempat tinggal, pembunuhan bayi yang tidak berdosa, menghancurkan kepala kanak-kanak, penangkapan pemuda-pemuda dan bapa-bapa, membunuh dan mengambil organ dalaman penduduk Palestin, pembunuhan individu tertentu yang dilakukan secara terancang. Sebenarnya, mereka ingin memusnahkan Masjidil Aqsa dan ingin menggantikannya dengan Haikal Sulaiman. 


NGO ini telah dan akan melakukan pelbagai projek bagi membantu rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan mereka. Antara projek mereka ialah pembinaan rumah anak yatim, memberi wang sumbangan kepada anak-anak yang bapanya dipenjarakan oleh Rejim Zionis, projek membela lembu susu, projek ikan air tawar, projek kilang roti dan lain-lain. Sila rujuk website mereka http://www.aqsasyarif.org.my/  

Serendah-rendah pertolongan kita ialah melalui berdoa agar mereka berjaya di dalam usaha melawan Rejim Zionis. Adalah dianjurkan agar setiap orang Islam dapat membantu dalam bentuk wang ringgit yang boleh dimasukkan ke akaun Maybank NGO ini seperti berikut:

AQSA SYARIF BERHAD
Maybank 551575004299

Encik Munawer CEO
019-4815584
03-87334636

**Sekiranya tidak berkemampuan, masukkanlah sedaya mungkin seperti RM5 atau sebarang nilai (masuk ATM atau online, tak ada orang nampak).
***Mereka akan berlepas ke Palestin sebelum 20 hb Ogos dan berada di sana dari 20-28 Ogos 2011.

Wakil pejuang Palestin pernah datang ke Malaysia dan berkata mereka akan menuntut di depan Allah SWT di Akhirat kelak tentang 'apakah yang dilakukan oleh saudara Islam (termasuk Malaysia) di dalam memperjuangkan tanah wakaf milik Islam ini'. Bayangkan lebih dari 100,000 syuhada ini akan bertanya kepada Allah SWT kelak. Di manakah kedudukan kita? Adakah kita terlepas dari tanggungjawab ini?

Wallah hu Alam.




No comments:

Post a Comment