IMAM AS-SYAFIE memberi wasiat: "Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggongcang empayar iblis di istana kerajaannya."
A. Melembutkan Fikiran dan Jiwa
Disamping zikir dan doa merupakan jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka istighfar pun merupakan usaha memahami hakikat kebesaran Allah dan memahami hakikat kerdilnya kita selaku insan ciptaanNya.
Istighfar iaitu memohon keampunan atas segala dosa dan kesalahan. Seandainya dosa dan perbuatan yang kita lakukan itu termasuk dosa besar, maka di samping kita istighfar kita juga harus bertaubat. Kerana istighfar dan taubat selalu berkaitan antara yang satu dengan yang lainnya.
Hendaklah kita beristighfar jika kita merasakan adanya dosa-dosa kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan, baik tersengaja mahu pun tidak disengajakan. Begitulah hakikat orang-orang yang beriman, selalu mengingat Allah memohon keampunan dari kesilapan-kesilapan kecil yang ia lakukan. Sehingga ia tidak terdorong untuk melakukan kesilapan dan dosa yang lebih besar. Sentiasa ingat kepada Allah segala apa yang ia usahakan.
Istighfar dapat melembutkan fikiran dan jiwa seseorang. Terhindar daripada terlanjur melakukan kesalahan, menyalahkan orang lain dan menyebut perkataan dan ucapan yang tidak terpuji. Sebaliknya selalu menyebut nama-nama Allah dan terus memohon keampunan Allah. Yakinlah bahawa Allah itu akan menerima setiap permohonan dan taubat hambaNya yang memang betul-betul ingin munajat dan bertaubat kerana Allah Maha Penyayang.
B. Kekuatan Istighfar
Kesempatan istighfar selalu terbuka kerana Allah SWT sangat luas ampunan dan kasih sayangNya. Istighfar dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud:
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nisaa': 110)
Betapa banyakpun doa kita, jika kita mengharapkan keampunan-Nya, maka Allah akan mengampunnya asalkan tidak menyekutuNya. Firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:
"Anas r.a. mengkhabarkan bahawa ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah telah berfirman: "Hai Bani Adam, selama engkau berdoa dan mengharap kepada Ku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daipada kamu. Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai Bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan bagi mu. Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai Bani Adam, seandainya engkau datang kepada Ku, dengan membawa dosa sepenuh bumi, asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, nescaya Aku isi semua itu dengan pengampunan." (Hadis Riwayat Tarmizi).
[Dipetik dari ms 466-467]
Buku: Abu Ahmad Yasin (2010). Wasiat 4 Imam. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
No comments:
Post a Comment